Saturday, 7 May 2016
TOYOL : DEFINISI ILMU KEBATINAN MELAYU
SOALAN:
Saya ada beberapa persoalan yang tidak mendapat jawapan yang pasti. Dalam pemerhatian saya, amalan kebatinan Melayu, yang diamalkan, sehingga sekarang sebahagian daripadanya melibatkan makhluk-makhluk halus iaitu jin. Kedua, di flat tempat saya tinggal, di pinggiran kota Kuala Lumpur, sekarang ini sibuk kerana kecurian wang. Di bawah flat, orang sibuk kehilangan motor setiap minggu atau bulan, di atas flat penghuninya kehilangan wang, dikatakan dicuri “toyol”. Adakah ini benar-benar berlaku atau kerana kecuaian manusia, sebagai satu “escapism”. Sekiranya toyol itu benar-benar wujud, adakah ia akan diwarisi oleh anak cucu cicit atau saudara-mara tertentu. – Insan Pinggir Kota
JAWAPAN:
Definisi “ilmu kebatinan Melayu” begitu subjektif dan luas yang tidak dapat saya huraikan dalam ruangan ini. Memang benar sebahagian daripada ilmu tersebut melibatkan makhluk halus atau jin. Menurut pemahaman umum orang Melayu, perkataan “toyol” itu selalunya dirujuk kepada makhluk seperti kanak-kanak kecil daripada golongan jin, yang dibela oleh manusia, untuk mencuri benda-benda tertentu terutama duit. Makhluk ini akan mencuri sebahagian daripada wang milik seseorang. Misalnya, kalau seseorang itu mempunyai wang 10 keping, ia mungkin mencuri sebahagian, sekeping atau dua keping.
Toyol merupakan panggilan yang wujud dalam masyarakat Melayu sahaja dan tidak wujud dalam pemahaman bangsa-bangsa lain. Nama ini tidak wujud dalam al-Quran atau hadis-hadis, sama seperti perkataan hantu raya, polong, pelesit dan sebagainya.
Penglibatan manusia dengan jin-jin boleh berlaku melalui menuntut ataupun dengan kaedah warisan (saka). Memang ada kaedah tuntutan khusus membolehkan seseorang itu berdampingan dengan makhluk-makhluk ini, iaitu melalui guru. Sesetengah orang mempelajari ilmu kebatinan, dengan bertapa dan sebagainya tetapi akhirnya didampingi oleh makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin. Hal demikian mungkin berlaku di luar pengetahuan orang berkenaan.
Orang yang mendampingkan diri dengan makhluk-makhluk halus semata-mata melalui warisan ataupun didampingi dengan cara menuntut dan menurunkan ilmu yang dimiliki itu kepada waris berikutnya, maka ilmu itu juga termasuk dalam kategori saka.
Kerana itu sekiranya ilmu yang dimiliki itu melibatkan jin, yang dinamakan “toyol” oleh orang Melayu, maka hal demikian dapat menjawab soalan saudara menyatakan “toyol” itu boleh dimasukkan dalam saka. Makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin bukan hanya berupaya mencuri satu atau dua keping daripada jumlah 10 keping wang kertas milik manusia, tetapi ia boleh melakukan lebih daripada itu dengan izin Allah s.w.t.
Makhluk ini boleh menerbangkan manusia dari satu tempat ke satu tempat dengan kaedah-kaedah tertentu. Di dalam al-Quran (an-Nam: 39) dijelaskan tentang kekuatan jin ifrit untuk menerbangkan singgahsana Ratu Balqis ke hadapan Nabi Sulaiman sebelum baginda berganjak dari tempat bersemayam. Hal demikian menjelaskan bahawa makhluk ini bukan setakat berupaya mengalihkan benda-benda besar dan berat, tetapi berupaya melakukannya dalam masa singkat. Apabila Allah menjadikan Adam, Allah memerintahkan para malaikat agar sujud menghormati kejadian Allah, iaitu Nabi Adam.
Semua malaikat sujud kecuali iblis yang takbur, merasakan dirinya lebih mulia (al-Baqarah: 34). Lalu Allah melaknat iblis dan ia termasuk dalam golongan kafir dan akan dimasukkan dalam neraka. Iblis merasakan bahawa kemurkaan Allah itu berpunca daripada Nabi Adam (al-A’raf: 15). Daripada peristiwa itu bermulalah permusuhan iblis dan konco-konconya terhadap Adam dan keturunannya. Iblis bersumpah akan menyesatkan semua manusia di muka bumi ini kecuali hamba yang ikhlas di kalangan mereka (al-Hijr: 39-40).
Dalam al-Quran dijelaskan bahawa jin itu ada yang Islam dan ada yang kafir (al-Jinn: 14-15). Kerana itu, sekiranya toyol yang mendampingi manusia itu kafir, termasuk dalam golongan jin yang berusaha menyesatkan manusia, maka makhluk ini tidak boleh disuruh atau makhluk ini akan hanya melakukan sesuatu yang pada mulanya baik tetapi akhirnya akan menghela orang yang terlibat itu ke ambang neraka jahanam.
Allah memberi amaran bahawa iblis dan syaitan itu hanya menyeru pengikut- pengikutnya untuk menjadi penghuni neraka. Allah memberi amaran kepada manusia agar mereka tidak terpedaya oleh syaitan (al-A’raf: 27). Dalam keadaan apa sekalipun, manusia hendaklah menganggap makhluk ini sebagai musuh (Fatir: 6). Sesetengah orang beranggapan bahawa orang yang berdampingan dengan makhluk ini boleh memerintah atau menyuruh makhluk ini melakukan sesuatu. Hakikat sebenar adalah sebaliknya.
Orang yang berdampingan dengan makhluk-makhluk ini adalah manusia yang lemah, menganggap bahawa makhluk ini berkuasa melakukan sesuatu menyebabkan orang yang terlibat menyandarkan harapan kepadanya. Padahal manusia sepatutnya mengharapkan sesuatu kepada Allah, menyandar dan menyerah diri atau bertawakal kepada-Nya, kerana hanya Allah yang berkuasa dan kekal.
Tempat meminta pertolongan lumrahnya dianggap lebih tinggi daripada orang yang memohon. Kerana itu apabila manusia meminta pertolongan kepada makhluk ini, bererti orang berkenaan menganggap makhluk itu lebih dihormati atau ditakuti, padahal darjah manusia itu lebih mulia di sisi Allah daripada makhluk tersebut, kerana manusia adalah khalifah di bumi kecuali yang menafikan tanda-tanda kebesaran Allah.
Mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk mengambil ikhtibar daripada tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah.
Mereka itu tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi (al-A’raf: 179). Iblis dan syaitan sebenarnya takutkan manusia, seperti manusia takutkan mereka. Rasulullah pernah memberitahu Sayidina Omar bahawa iblis dan syaitan lari kepadanya. Kewujudan makhluk yang dinamakan “toyol” dalam masyarakat Melayu merupakan sesuatu yang misterious, yang banyak tidak diketahui umum hakikatnya, sesuai dengan namanya “makhluk-makhluk halus” atau “makhluk-makhluk ghaib”.
Malah manusia sendiri tidak minat mengkaji hakikatnya. Walaupun demikian, kejadian-kejadian yang dikaitkan dengan makhluk ini membuktikan seolah-olah makhluk ini sebenarnya wujud. Banyak orang mengadu kehilangan wang, tetapi tidak ada tanda-tanda kehilangan itu dicuri manusia atau kecuaian sendiri.
Kehilangan ini melibatkan orang miskin, Islam, orang baik-baik dan sebagainya. Kenapa wang mereka mesti dicuri? Kenapa tidak dicuri wang mereka yang terlibat dengan penyelewengan berjuta-juta ringgit atau institusi kewangan yang besar-besar? Makhluk ini juga ada kalanya mengganggu tetangga, saudara sekampung dan sebagainya. Sebagai manusia waras mendampingi makhluk seperti ini, adakah tergamak orang yang menyuruh makhluk “belaannya” itu berbuat demikian?
Sesungguhnya hal demikian membuktikan, mereka yang terlibat di bawah kuasa makhluk berkenaan, tidak berupaya mengawal makhluk tersebut. Sesetengah orang yang terlibat dengan makhluk ini tidak berupaya “melepas” diri daripada cengkaman makhluk berkenaan.
Sekiranya ia mendapat wang ataupun lain- lain imbuhan hasil daripada penglibatan makhluk tadi tidak akan dapat menikmati kehidupan seperti manusia biasa. Iblis dan syaitan mempunyai keupayaan untuk menipu, menghasut dan menyakiti manusia dengan izin Allah. Namun hal-hal seperti ini bukan matlamat utama, kerana makhluk ini akan dimasukkan ke neraka. Puncak kejayaan iblis dan syaitan ialah apabila manusia menggunakan makhluk ini untuk menyakiti atau mengganggu manusia yang mungkin membawa maut.
Dari sinilah lahirnya amalan sihir, di mana manusia menggunakan iblis dan syaitan untuk mengganggu orang lain. Sihir tidak berlaku kecuali dengan penglibatan makhluk halus. Manusia yang mengambil nyawa orang lain bukan cara yang hak tempatnya adalah dalam neraka jahanam.
Allah amat murka dan melaknat orang yang berkenaan. Membunuh atau mengambil nyawa orang lain bukan semestinya berlaku dengan tembakan atau parang, tetapi juga dengan amalan sihir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment