Thursday 9 June 2016

Sah/Batal Puasa

Soalan-soalan:
  1. Memberus Gigi Ketika Berpuasa
  2. Masuk Air Wuduk ke Hidung dan Telinga Ketika Puasa
  3. Berjimak Ketika Masuk Subuh Bulan Ramadhan
  4. Mimpi (Inzal) di Malam Ramadhan
  5. Mimpi (Inzal) Di siang Hari Ramadhan
  6. Suntikan Doktor ketika Puasa
  7. Memakai Gincu di Bulan Ramadan 
  8. Menyedut Ubat (inhaler) Ketika Puasa
  9. Lafaz Niat yang Betul 
  10. Jimak Waktu Siang Bulan Ramadhan



1. Memberus Gigi Ketika Berpuasa
Soalan
Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan
Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.




2. Masuk Air Wuduk ke Hidung dan Telinga Ketika Puasa 
Soalan
Bagaimana pula jika kita sudah terbiasa memasukkan air ke dalm hidung ketika mengambil air sembahyang? Begitu juga, ketika mandi wajib selepas masuk waktu subuh kerana berjimak di malam sebelumnya, kita dikehendakki  meratakan air ke seluruh kulit. Bagaimana kita hendak meratakan air ke dalam cuping telinga? Dikhuatiri air akan termasuk ke dalam telinga?
Fatimah Azzahra, KL
Jawapan
Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk pada bulan Ramadhan tidaklah membatalkan puasa, kerana memasukkan air disini bukanlah menyedutnya hingga ke dalam tetapi cukup saja dengan membersihkan rongga hidung tersebut. Begitu juga dengan membasuh telinga, cukup membasuh diluarnya saja tidaklah sampai memasukkan air ke dalam rongga telinga bagi menghilangkan dahaga.



3. Berjimak Ketika Masuk Subuh Bulan Ramadhan
Soalan
Suami isteri berjimak semasa waktu azan subuh dibulan puasa dan kemudian mandi wajib bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan subuh maksudnya puasa itu bermula?
Amat Unus, KL
Jawapan
Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajarpun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi. Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.
Jika persetubuhan itu diteruskan walaupun telah terdengar suara azan, maka hendaklah membayar kaffarah. Pertama memerdekakan hamba, jika tidak ada atau tidak mampu, dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin.



4. Mimpi (Inzal) di Malam Ramadhan 
Soalan
Apakah hukumnya sekiranya apabila di dalam bulan ramadhan, seseorang itu tidur di malam hari dan apabila terjaga di waktu pagi (dah terbit matahari) dan dah mula berpuasa, di dapati air mani terkeluar dari kemaluannya. Bolehkah dia meneruskan puasanya dan sahkah puasanya itu?
Anwar,JB
Jawapan
Jika kita bermimpi di malam bulan Ramadhan, dan baru tersedar ketika bangun pagi, maka segeralah mandi wajib, kemudian teruskanlah berpuasa. Sebab berjimak ataupun bermimpi pada malam hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Bahkan setengah ulama berpendapat bermimpi pada siang Ramadhan pun tidak membatalkan puasa namun ia harus segera mandi wajib.




5. Mimpi (Inzal) Di siang Hari Ramadhan
Soalan
Soalan saya ialah adakah batal puasa seseorang itu sekiranya terkeluar air maninya semasa dia tengah 
tidur?
Mat, KL
Jawapan
Bermimpi dalam berpuasa sehingga keluar mani tidaklah membatalkan puasa. Dalam hukum ini tidak ada perselisihan pendapat para fuqaha.


6. Suntikan Doktor ketika Puasa 
Soalan
Saya telah diserang penyakit gatal-gatal di badan. Apabila ke kelinik untuk mendapatkan rawatan, doktor 
telah mengenakan suntikan kepada saya. Apakah puasa saya dikira batal kerana suntikan itu?
Mazlan, KL
Jawapan
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memasukkan ubat dengan suntikan ketika siang bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Diantara yang menyokong pendapat ini iaitu Ibn Hazm. Namun setengah ulama yang lain membatalkannya. Bagi kami hal ini melihat keadaan, jika suntikan itu terpaksa dilakukan maka ia termasuk dalam darurah dan tidak membatalkan puasa.


7. Memakai Gincu di Bulan Ramadan
Soalan
Pada bulan Ramadhan ini apakah hukumnya kalau seorang wanita ketika berpuasa memakai gincu 'Lipstik'?
Norafida, KL
 Jawapan
Wanita yang berhias diri seperti memakai wangian, lipstik dan sebagainya ketika ke luar rumah hukumnya berdosa, tak kiralah bulan biasa ataupun bulan Ramadhan. Kerana perbuatan seperti itu hanya dilakukan oleh wanita-wanita pada zaman jahiliyah. Namun berhias untuk menyenangkan hati suami, wajib hukumnya, itupun hindarkan memakainya ketika di siang bulan Ramadhan.


8. Menyedut Ubat (inhaler) Ketika Puasa
Soalan
Saya salah seoarang pesakit asthma (lelah) dan sekarang saya sudah mengunakan sejenis ubat (inhaler) ubat itu saya perlu sedut setiap hari. Adakah batal puasa saya jika saya menyedut ubat itu?
Aje, Alor Setar
Jawapan
Para salafussoleh tidak pernah mengenali jenis ubat dan kaedah rawatan melalui cara ini, ia merupakan satu sistem perubatan yang baru. Perkara ini mungkin identik penggunaan celak ketika puasa. Celak dan ubat titis air mata jika digunakan secara berlebihan sehingga terasa di kerongkong hukumnya membatalkan puasa. Begitu juga halnya dengan gas penyakit lelah ini, jika cecairan yang kita masukkan ke dalam mulut itu terasa di kerongkong, maka dapat menyebabkan membatalkan puasa.
Walaupun begitu berusahalah untuk menahan diri ketika siang bulan Ramadhan untuk tidak memakai cecair atau ubat athma ini. Jika keadaan terpaksa dan sangat memudaratkan sedangkan penggunaannya sekadar perlunya saja maka ia tergolong rukhsah (keringanan ) yang dibolehkan.



9. Lafaz Niat yang Betul
Soalan
Antara lafaz niat berikut: 
1. Sahaja aku puasa esok hari dalam bulan ramadhan fardhu ke atas ku kerana Allah Taala.
2. Sahaja aku puasa fardhu ramadhan esok hari kerana Allah Taala.
Yang manakah yang betul?
Junior, BP
Jawapan
Kedua-dua lafaz itu betul kerana mengandunig pengertian yang sama cuma redaksi bahasanya yang berbeza.




10. Jimak Waktu Siang Bulan Ramadhan
Soalan
Saya terdapat kemusykilan persetubuhan (suami/isteri) di bulan puasa di siang hari: Ada pendapat mengatakan dibenarkan (jika terlalu tak tahan) melakukannya setelah berbuka puasa dahulu, tidak dikenakan kifarat. Dan ada pula pendapat mengatakan walau apapun keadaan seseorang dilarang sama sekali melakukannya samaada berbuka dahulu atau tidak tetap akan dikenakan kifarat?
resah, KL
Jawapan
Apabila seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh, wajib atasnya membayar kaffarah yakni memerdekakan sorang hamba, jika tidak sanggup maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup juga hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Abu Hurairah berakata;
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Saya telah binasa ya Rasulallah". 
Rasulullah SAW bertanya: "Apa yang membinasakan engkau ?". 
Dia menjawab: "Saya telah menjimak isteri saya di bulan Ramadhan". 
Maka Rasulullah SAW bertanya: "Apakah engkau sanggup berpuasa dua bulan berturut-turut ?". 
Dia menjawab: "Tidak". 
Rasulullah SAW bertanya lagi: "Apakah engkau sanggup memberi makan 60 orang miskin ?". 
Dia menjawab: "Tidak". 
Kemudian dia duduk di majlis Nabi dan dibawalah kepada Nabi suatu bekas yang berisi 17 gantang kurma. Bersabda Nabi kepadanya: "Sedekahkanlah kurma ini". 
Orang itu bertanya: "Apa kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Tidak ada di antara dua pinggir kota Madinah yang lebih berhajat daripada kami". 
Maka tersenyumlah Nabi hingga nampaklah geraham baginda dan bersabdalah Rasulullah SAW: "Pulanglah dan berikan kurma ini kepada keluargamu". (Riwayat Jamaah)
Hadis ini menyatakan bahawa diwajibkan kaffarah atas orang yang merosakkan puasanya dengan melakukan jimak. Menurut Imam Ahmad dan sebahagian pengikut mazhab Maliki, wajib juga kaffarah atas orang yang lupa bahawa dia berpuasa. Sebab Rasulullah SAW setelah mendengar pengaduan Salamah Ibn Sakhar itu baginda tidak meminta penjelasan apakah ia melakukan dengan terlupa ataupun dengan sengaja.

Monday 23 May 2016

Senarai Ajaran Sesat - Jakim

1. Nasrul Haq
2. Budi Suci
3. Al-Watan
4. Budi Suci Sejati
5. Jawa Faradin
6. Silat Sunda Pukulan Ghaib
7. Tusuk Hikmat
8. Ilmu Kebatinan
9. Potong Maya
10. Naluri
11. Kaula
12. Haqqullah Syahadah
13. Rampai
14. Wali Suci
15. Kalimat Sakti
16. Silat Pukulan Jarak Jauh
17. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18. Zikir Sha`ban Islam Haq
19. Asal Wujud Garis Laksmana
20. Al-Ma`zat
21. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
22. Ilmu Kebatinan
23. Abdul Manan bin Harun- Tolak Hadis
24. Ilmu Mentauhidkan Allah oleh Nasrun S.T.Qahar
25. Kumpulan Ikhwan/al-Mas
26. Kuasa Ghaib ( Tahan Diri)
27. Mohd Nordin Putih
28. Nasrun S.T.Qahar
29. Roslan Katimun atau Ajaran Wali Sembilan
30. Tariqat Naqsyabandiyah Kadirun Yahya
31. Wali Sembilan
32. Khatijah binti Ali @ Puan Tijah
33. Syed Mutalib bin Syed Mohd Nordin
34. Ajaran Mohd Seman Al-Banjari
35. Al-Arqam
36. Golongan Anti Hadis
37. Ajaran yang disampaikan oleh Juruzon bin Abdul Latif atau dikenali juga
sebagai (Hj) Ahmad al-Walidie (Pak Su)
38. Syiah
39. Ajaran Hj. Ghazali Othman Hulu Kelang
40. Ajaran Hj.Kadar Ahmad
41. Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana
42. Ajaran ilmu Hakikat@ Jahar Dumin Hulu Langat
43. Tarikat Mufaridiah
44. Ajaran Hassan Anak Rimau
45. Tarikat Aurad Ismailiah
46. Ajaran Martabat Tujuh
47. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol
48. Ajaran Sulaiman ( Bahtera Nabi Noh)
49. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan bin Jonit
50. Ajaran Ahmadiah/ Qadiani
51. Ajaran Mohd Nor Seman
52. Ajaran Ayah Pin
53. Ajaran Bahai
54. Al-Ma`unah
55 Ajaran Azhar Wahab
56. Ajaran Hj.Banuar

Saturday 21 May 2016

Nasi KANGKANG Nasi TANGAS

Kisah isteri mengunakan ilmu hitam untuk menundukkan suami dalam Harian Metro baru-baru ini sedikit menakutkan kaum lelaki yang bergelar suami. Perkara sedemikian sudah lama berlaku dalam masyarakat kita. Kerana kepercayaan syirik terhadap kehebatan bomoh-bomoh ilmu hitam ini, ramai Isteri yang lupa diri dan Allah.
Nasi kangkang biasa kita dengar, kali ini kisah isteri gunakan najis yang dicampurkan dengan makanan suami pula. Tergamak dia buat begitu pada suami. Saya tak nafikan bahawa suami juga kadang kala buat silap, begitu juga isteri. Kita manusia biasa, milik Allah. Ada masalah rujuklah Allah, kenapa nak cari bomoh.
Masyarakat kita kini semakin ramai yang mengaku Islam tapi tak percaya pada Allah, tak percaya Allah mampu makbulkan doa hambanya, tak yakin Allah boleh bantu selesaikan masalahnya, maka bomohlah tempat mereka mengadu.
Firman Allah yang tafsirnya :
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); “Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.” – (Surah al-Baqarah : ayat 186)
Selain mengundang syirik, ia juga merosakkan hubungan kekeluargaan. Apa guna ada suami yang tunduk kerana ilmu guna-guna ini. Mungkin suami itu akan tunduk pada apa sahaja yang isteri kehendaki, tapi lama kelamaan akan bosan juga sebab suami macam robot jer.
Isteri tidak boleh terlalu taksub untuk kuasai suami, kerana sampai masanya Allah akan panggil dia juga. Yang tinggal nanti adalah dosa-dosa yang harus dijawab oleh si Isteri dihadapan Allah kelak. Bayangkan azab Allah diakhirat nanti. Kerana inginkan kebahagian dunia, kebahagian akhirat lebur begitu sahaja.
Gunakanlah doa sebagai senjata, sesungguhnya hamba yang rapat dengan Allah dan sering berdoa akan disantuni juga akhirnya. Kalau mahu tundukkan hati suami, maka mintalah pada Allah yang mencipta dan pemilik sebenar suami itu. Begitu juga suami yang ingin merebut hati Isteri.
Kita sendiri pun, kalau nak buah mangga yang tumbuh ranum di laman jiran kita, pasti kita akan temui tuannya dan minta izin. Jadi begitulah hubungan kita pada Allah bila inginkan sesuatu.
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” – (Surah Ghafir: ayat 60)
Demikian juga yang diberitahu oleh Rasulullah;
“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemurah, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepadaNya lalu Dia mengembalikan (tidak menerima) kedua tangannya (doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.” – (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Harian Metro : Sampai hati isteri
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Marah kerana suami ‘buas’ dan suka bermain kayu tiga, segelintir isteri dikesan sanggup menggunakan najis sendiri untuk dijadikan ramuan ilmu hitam menundukkan mereka.
Isteri terbabit tergamak menuruti arahan bomoh supaya najis itu dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalam makanan suami.
Dengan bacaan jampi serapah tertentu, bomoh terbabit mendakwa najis yang dikeringkan selama beberapa hari itu dikatakan berupaya ‘mengikat’ suami.
Wartawan Harian Metro yang menjalankan siasatan mengenai ilmu hitam itu berkesempatan bertemu seorang wanita yang terjebak dengan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam itu, baru-baru ini.
Wanita terbabit mengaku pernah berbuat demikian terhadap suaminya, bagaimanapun enggan gambarnya dirakamkan bimbang perbuatan lampaunya diketahui keluarga dan suaminya.
Mulanya, dia enggan menceritakan pengalaman buruk itu tetapi selepas dipujuk berulang kali, akhirnya wanita itu bersetuju berkongsi kisah duka dalam hidupnya.
Dia yang hanya mahu memperkenalkan diri sebagai Ima, 32, mendakwa masalah rumah tangga dialaminya itu bermula selepas tujuh tahun berkahwin.
Ima yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di Cheras memperoleh dua cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan suaminya, seorang kerani.
“Pada awal perkahwinan, semuanya berjalan baik walaupun kami kerap menghadapi masalah kewangan terutama membayar khidmat pengasuh dan membeli kelengkapan harian anak berusia dua dan empat tahun.
“Melalui rakan sepejabatnya, saya mendapat tahu dia mula nakal dan menjalin hubungan cinta dengan seorang pegawai wanita yang juga sudah berumah tangga,” katanya.
Setiap kali ditanya berhubung perkara itu, suaminya akan naik angin dan keluar dari rumah serta tidak pulang hingga berhari-hari.
Lebih mengecewakan apabila Ima mendapat tahu suaminya turut bermain cinta dengan beberapa gadis lain di pusat permainan snuker hingga sanggup menghabiskan duit gaji setiap bulan.
Menurut Ima, seorang rakan mencadangkan dia berubat dengan beberapa bomoh.
Antara bomoh yang pernah ditemuinya seorang wanita tua di pinggir ibu kota.
Melalui wanita yang dikenali sebagai Ibu Siti, dia diyakinkan amalan yang diberikan mampu mengikat semula hati suami supaya kembali semula ke rumah dan menyayangi keluarga.
“Pada malam Jumaat, saya mengambil keputusan menemui Ibu Siti selepas diberikan alamatnya oleh rakan.
“Saya disuruh bomoh itu membuang air besar di tandasnya. Dia menyuruh saya mengambil sedikit najis dan berikan kepadanya,” katanya.
Dia gusar suruhan pelik itu, tapi tetap mengikutinya berikutan terdesak untuk memenangi hati suami.
Dengan najis itu diletakkan di atas sudu, kata Ima, bomoh berkenaan terkumat-kamit membaca sesuatu.
Bomoh itu mengajar cara penggunaan najis terbabit walaupun mulanya dia tidak sampai hati melakukannya.
“Bomoh itu menyuruh saya masukkan sedikit najis itu ke dalam makanan suami sebaik ia kering selepas dijemur dan suami pasti berubah dan sentiasa merindui saya,” katanya.
Selepas mengamalkan petua jijik berkenaan, dia berkata, suaminya yang sebelum itu sering keluar rumah, mula berubah dan kerap bersama dia dan anak.
“Perubahan itu benar-benar menggembirakan. Namun, beberapa bulan selepas mengamalkannya, saya menyedari perubahan aneh apabila suami menjadi murung, pendiam dan kurus.
“Dia seolah-olah hilang semangat dan kerap jatuh sakit. Perubahan fizikal dan mentalnya itu menyebabkan saya sedar ia berpunca daripada tindakan saya,” katanya.
Justeru, Ima dihantui rasa bersalah kerana suaminya masih di bawah pengaruh ilmu hitam itu.
Walaupun tidak lagi liar katanya, ubat guna-guna itu menyebabkan suaminya bagai orang bodoh dan kerap lupa banyak perkara.
Menurutnya, dia mencari pengamal perubatan Islam bagi memulihkan suaminya.
“Saya tidak mahu mati sebagai isteri derhaka dan tidak diterima tanah.

“Mungkin ketika itu saya terlalu jahil agama sehingga melakukan perkara bercanggah dengan Islam,” katanya.

Friday 20 May 2016

ROH DAN PENNGERTIANNYA

Ini cerita bab Roh yang ku petik dari Kitab Sirrul Asrar
Tempat roh manusia, roh kehidupan, di dalam badan ialah dada. Tempat ini berhubung dengan pancaindera dan deria-deria. Urusan atau bidangnya ialah agama. Pekerjaannya ialah mentaati perintah Allah. Dengan peraturan-peraturan yang ditentukan-Nya, Allah memelihara dunia nyata ini dengan teratur dan harmoni. Roh itu bertindak menurut kewajipan yang ditentukan oleh Allah, tidak menganggap perbuatannya sebagai perbuatannya sendiri kerana dia tidak berpisah dengan Allah. Perbuatannya daripada Allah; tidak ada perpisahan di antara ‘aku’ dengan Allah di dalam tindakan dan ketaatannya.
“Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah mengerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan sesuatu dalam ibadat kepada Tuhannya”. (Surah Kahfi, ayat 110).
Allah adalah esa dan Dia mencintai yang bersatu dan satu. Dia mahu semua penyembahan dan semua amal kebaikan, yang Dia anggap sebagai pengabdian kepada-Nya, menjadi milik-Nya semata-mata, tidak dikongsikan dengan apa sahaja. Jadi, seseorang tidak memerlukan kelulusan atau halangan daripada sesiapa pun di dalam pengabdiannya kepada Tuhannya, juga amalannya bukan untuk kepentingan duniawi. Semuanya semata-mata kerana Allah. Suasana yang dihasilkan oleh petunjuk Ilahi seperti menyaksikan bukit-bukti kewujudan Allah di dalam alam nyata ini; kenyataan sifat-sifat-Nya, kesatuan di dalam yang banyak, hakikat di sebalik yang nyata, kehampiran dengan Pencipta, semuanya adalah ganjaran bagi amalan kebaikan yang benar dan ketaatan tanpa mementingkan diri sendiri. Namun, semuanya itu di dalam taklukan alam benda, daripada bumi yang di bawah tapak kaki kita sehinggalah kepada langit-langit. Termasuk juga di dalam taklukan alam dunia ialah kekeramatan yang muncul melalui seseorang, misalnya berjalan di atas air, terbang di udara, berjalan dengan pantas, mendengar suara dan melihat gambaran dari tempat yang jauh atau boleh membaca fikiran yang tersembunyi. Sebagai ganjaran terhadap amalan yang baik manusia juga diberikan nikmati di akhirat seperti syurga, khadam-khadam, bidadari, susu, madu, arak dan lain-lain. Semuanya itu merupakan nikmati syurga tingkat pertama, syurga dunia.
Tempat ‘roh perpindahan atau roh peralihan’ ialah di dalam hati. Urusannya ialah pengetahuan tentang jalan kerohanian. Kerjanya berkait dengan empat nama-nama pertama bagi nama-nama Allah yang indah. Sebagaimana dua belas nama-nama yang lain empat nama tersebut tidak termasuk di dalam sempadan suara dan huruf. Jadi, ia tidak boleh disebut. Allah Yang Maha Tinggi berfirman:
“Dan bagi Allah jualah nama-nama yang baik, jadi serulah Dia dengan nama-nama tersebut”. (Surah A’raaf, ayat 180).
Firman Allah di atas menunjukkan tugas utama manusia adalah mengetahui nama-nama Tuhan. Ini adalah pengetahuan batin seseorang. Jika mampu memperolehi pengetahuan yang demikian dia akan sampai kepada makam makrifat. Di samalah pengetahuan tentang nama keesaan sempurna.
Nabi s.a.w bersabda, “Allah Yang Maha Tinggi mempunyai sembilan puluh sembilan nama, sesiapa mempelajarinya akan masuk syurga”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Pengetahuan adalah satu. Kemudian orang arif jadikannya seribu”. Ini bermakna nama kepunyaan Zat hanyalah satu. Ia memancar sebagai seribu sifat kepada orang yang menerimanya.
Dua belas nama-nama Ilahi berada di dalam lengkungan sumber pengakuan tauhid “La ilaha illa Llah”. Tiap satunya adalah satu daripada dua belas huruf dalam kalimah tersebut. Allah Yang Maha Tinggi mengurniakan nama masing-masing bagi setiap huruf di dalam perkembangan hati. Setiap satu daripada empat alam yang dilalui oleh roh terdapat tiga nama yang berlainan. Allah Yang Maha Tinggi dengan cara ini memegang erat hati para pencinta-Nya, dalam kasih sayang-Nya. Firman-Nya:
“Allah tetapkan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di Penghidupan dunia dan akhirat”. (Surah Ibrahim, ayat 27).
Kemudian dikurniakan kepada mereka kehampiran-Nya. Dia sediakan pokok keesaan di dalam hati mereka, pokok yang akarnya turun kepada tujuh lapis bumi dan Dahannya meninggi kepada tujuh lapis langit, bahkan meninggi lagi hingga ke arasy dan mungkin lebih tinggi lagi. Allah berfirman:
“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah adakan misal, satu kalimah yang baik seperti pohon yang baik, pangkalnya tetap dan cabangnya ke langit. (Surah Ibrahim, ayat 24).
Tempat ‘roh perpindahan atau roh peralihan’ adalah di dalam nyawa kepada hati. Alam malaikat berterusan di dalam penyaksiannya. Ia boleh melihat syurga alam tersebut, penghuninya, cahayanya dan semua malaikat di dalamnya. Kalam ‘roh peralihan’ adalah bahasa alam batin, tanpa huruf tanpa suara. Perhatiannya berterusan menyentuh soal-soal rahsia-rahsia maksud yang tersembunyi. Tempatnya di akhirat apabila kembali ialah syurga Na’im, taman kegembiraan kurniaan Allah.
Tempat ‘roh sultan’ di mana ia memerintah, adalah di tengah-tengah hati, jantung kepada hati. Urusan roh ini ialah makrifat. Kerjanya ialah mengetahui semua pengetahuan ketuhanan yang menjadi perantaraan bagi semua ibadat yang sebenar-benarnya diucapkan dalam bahasa hati. Nabi s.a.w bersabda, “Ilmu ada dua bahagian. Satu pada lidah, yang membuktikan kewujudan Allah. Satu lagi di dalam hati. Inilah yang perlu bagi menyedarkan tujuan seseorang”. Ilmu yang sebenar-benarnya bermanfaat berada di dalam sempadan kegiatan hati. Nabi s.a.w bersabda, “Quran yang mulia mempunyai makna zahir dan makna batin”. Allah Yang Maha Tinggi membukakan Quran kepada sepuluh lapis makna yang tersembunyi. Setiap makna yang berikutnya lebih bermanfaat daripada yang sebelumnya kerana ia semakin hampir dengan sumber yang sebenarnya. Dua belas nama kepunyaan Zat Allah adalah umpama dua belas mata air yang memancar dari batu apabila Nabi Musa a.s menghentamkan batu itu dengan tongkatnya.
“Dan (ingatlah) tatkala Musa mintakan air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah batu itu dengan tingkat kamu’. Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air yang sesungguhnya setiap golongan itu mengetahui tempat minumnya”. (Surah Baqarah, ayat 60).
Pengetahuan zahir adalah umpama air hujan yang datang dan pergi sementara pengetahuan batin umpama mata air yang tidak pernah kering.
“Dan satu tanda untuk mereka, ialah bumi yang mati (lalu) Kami hidupkannya dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, lalu mereka memakannya”. (Surah Yaa Sin, ayat 33).
Allah jadikan satu bijian, sebiji benih di langit. Benih itu menjadi kekuatan kepada kehaiwanan di dalam diri manusia. Dijadikan-Nya juga sebiji benih di dalam alam roh-roh (alam al-anfus); menjadi sumber kekuatan, makanan roh. Bijian itu dijiruskan dengan air dari sumber hikmah. Nabi s.a.w bersabda, “Jika seseorang menghabiskan empat puluh hari dalam keikhlasan dan kesucian sumber hikmah akan memancar dari hatinya kepada lidahnya”.
Nikmat bagi ‘roh sultan ialah kelazatan dan kecintaan yang dinikmatinya dengan menyaksikan kenyataan keelokan, kesempurnaan dan kemurahan Allah Yang Maha Tinggi. Firman Allah:
“Dia telah diajar oleh yang bersangatan kekuatannya, yang berupa bagus, lalu ia menjelma dengan sempurnanya padahal ia di pehak atas yang paling tinggi. Kemudian ia mendekati rapat (kepadanya), maka adalah (rapatnya) itu kadar dua busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu Ia wahyukan kepada hamba-Nya apa yang Ia mahu wahyukan. Hatinya tidak mendusta apa yang dia lihat”. (Surah Najmi, ayat 5 – 11).
Nabi s.a.w menggambarkan suasana demikian dengan cara lain, “Yang beriman (yang sejahtera) adalah cermin kepada yang beriman (yang sejahtera)”. Dalam ayat ini yang sejahtera yang pertama ialah hati orang yang beriman yang sempurna, sementara yang sejahtera kedua itu ialah yang memancar kepada hati orang yang beriman itu, tidak lain daripada Allah Yang Maha Tinggi sendiri. Allah menamakan Diri-Nya di dalam Quran sebagai Yang Mensejahterakan.
“Dia jualah Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia…Yang Mensejahterakan (Pemelihara iman), Pemelihara segala-galanya”. (Surah Hasyr, ayat 23).
Kediaman ‘roh sultan’ di akhirat ialah syurga Firdaus, syurga yang tinggi.
Setesen di mana roh-roh berhenti adalah tempat rahsia yang Allah buatkan untuk Diri-Nya di tengah-tengah hati, di mana Dia simpankan rahsia-Nya (Sirr) untuk disimpan dengan selamat. Keadaan roh ini diceritakan oleh Allah melalui pesuruh-Nya:
“Insan adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya”.
Urusannya ialah kebenaran (hakikat) yang diperolehi dengan mencapai keesaan; mencapai keesaan itulah tuagsnya. Ia membawa yang banyak kepada kesatuan dengan cara terus menerus menyebut nama-nama keesaan di dalam bahasa rahsia yang suci. Ia bukan bahasa yang berbunyi di luar.
“Dan jika engkau nyaringkan perkataan, maka Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”. (Surah Ta Ha, ayat 7)
Hanya Allah mendengar bahasa roh suci dan hanya Allah mengetahui keadaannya.
Nikmat bagi roh ini ialah penyaksian terhadap ciptaan Allah yang pertama. Apa yang dilihatnya ialah keindahan Allah. Padanya terdapat penyaksian rahsia. Pandangan dan pendengaran menjadi satu. Tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan tentang apa yang disaksikanya. Dia menyaksikan sifat Allah, keperkasaan dan kekerasan-Nya sebagai esa dengan keindahan, kelembutan dan kemurahan-Nya.
Bila manusia temui matlamatnya, tempat kediamannya, bila dia temui akal asbab, pertimbangan keduniaannya yang memandunya selama ini akan tunduk kepada Perintahnya; hatinya akan rasa gentar bercampur hormat, lidahnya terkunci. Dia tidak berupaya menceritakan keadaan tersebut kerana Allah tidak menyerupai sesuatu.
Bila apa yang diperkatakan di sini sampai ke telinga orang yang berilmu, mula-mula cubalah memahami tahap pengetahuan sendiri. Tumpukan perhatian kepada kebenaran (hakikat) mengenai perkara-perkara yang sudah diketahui sebelum mendongak ke ufuk yang lebih tinggi, sebelum mencari peringkat baharu, semoga mereka memperolehi pengetahuan tentang kehalusan perlaksanaan Ilahi. Semoga mereka tidak menafikan apa yang sudah diperkatakan, tetapi sebaliknya mereka mencari makrifat, kebijaksanaan untuk mencapai keesaan. Itulah yang sangat diperlukan.
Semoga mendapat menafaat. Sekian.